Saturday, December 24, 2011

KUTEMBUSI SUMBU ITU

Rosli K. Matari

KUTEMBUSI SUMBU ITU

Aku masuk
ke dalam
sebuah pelita.

Kini aku lebur
bertukar menjadi
minyak zaitun.

Kutembusi sumbu itu
tercipta
menjadi api.

Daripada api itu
aku menjelma
sebagai cahaya.

Kulihat diriku
telah dizahirkan
sebagai sebuah pelita.

Aku wujud
dan menyala
kerana aku diciptakan.

Bahkan bayangku
tercipta
kerana aku ada.

Tanpa cahaya itu
tidak mungkin kutemui
diriku.

20 Okt 09


[Dewan Sastera, Mac 2010]

WUJUD

Rosli K. Matari

Wujud

Lampu padam tiba-tiba
seperti nyawa terlucut
tanpa sempat diduga

Ke manakah
menghilang cahaya
selepas lampu padam

Dalam gelap ini
aku terjepit
di antara ada dan tiada

Setelah lilin kupasang
apakah yang terkandung
di dalam cahaya

Pada dinding
aku terjelma
sebagai susuk bayang

Persis bayang
gelap dan terang
tiada abadi di sini

Sebentar lagi
tubuhku akan cair
di dalam lilin
Yang Ada
tersembunyi
Abadi


26 Okt 91

[Dewan Sastera, Mac 2010]

MENGENANG HAMZAH FANSURI

Rosli K. Matari

        MENGENANG HAMZAH FANSURI

Kita tidak sempat bertemu
kerana berada di muka surat abad
yang berlainan.

Tetapi lautan
masih tetap bergelombang
dalam syairmu.

Aku tidak pasti
perahu tamsil yang kaucipta itu
masih belayar atau tenggelam.

Ribut
merembas kencang
merempuh abad ini pula.

Hiu masih kekal
meskipun abad berbeza
tetapi lautan tetap sama.

Aku tahu
seperti perahu itu
kita juga fana.


1995



[Dewan Sastera, Mac 2010]

KILAU SETITIK SINAR

Rosli K. Matari

        KILAU SETITIK SINAR



Kita tidak dapat mencipta
walau setitik cahaya.

Setitik cahaya
terpercik oleh ribuan titik sinar.

Dalam setitik sinar
terpendam Lautan Makrifat.

Luasnya tidak terjangkau
bumi dan matahari sebesar debu.

Dari setitik Lautan Makrifat
terpencar Nur Hakikat.

Dalam setitik Nur Hakikat
terbentang luas Lautan Wujud.

Dasarnya tidak terjangkau
tenggelam buruj dan langit.

Lautan Wujud itu
tenang jernih dalam qalbumu.

Pernahkah kauselami?


12 Nov 1998

[Berita Minggu]

KALAU KUSENTUH

Rosli K. Matari


KALAU KUSENTUH  
(Buat anakku Faqihah)
 

Bayang-bayang di dalam kolam ini
juga sebahagian diriku

jernih, mewujudkan aku

kuterima diriku itu
sebagai ada

kekal untuk sementara

kurenung, inilah juzuk hakikat
membelah beza

ada dan tiada

kutemui makna ada
di hadapan selapis diri

tetapi kalau kusentuh
aku akan tiada semula


8 Okt 09


[Dewan Sastera, Mac 2010]

AKU


Rosli K. Matari


AKU

Tidak ada manusia lain
di pantai ini,
kecuali diriku.

Kususur pasir panjang
sambil kubayangkan
aku ini Adam.

Hari inilah aku tercipta
dan pertama kali melihat
laut, langit, dan pohon.

Kelmarin aku belum ada
tidak terdengar olehku
bunyi ombak itu.

Tidak terasa olehku
sentuhan angin ini,
bertiup di mana-mana.

Bahkan, aku tidak tahu
kulit kerang dan rhu
pernah wujud di sini.



Tuhan,
aku percaya Kau Pencipta
kerana aku baru ada.


3 Disember 1997

[Dewan Sastera, Mac 2010]

AH, SEPATUMU ITU

Rosli K. Matari


AH, SEPATUMU ITU
 


Ketika Sang Maut bergegas datang
Kau masih cuba mencari helah.

Kata Sang Maut:
Aku akan membawamu pergi jauh dari sini.

Ke suatu titik di luar segala detik,
Tegas Sang Maut lagi.

Kau termanggu
Sangat gementar memikirkan noktah itu.

Lalu kau berdalih:
Tuan, sepatu saya tertinggal di rumah jiran.

Sang Maut merenung,
Tepat dan tajam ke matamu.

Pergilah segera mengambilnya,
Sang Maut mengangguk dua kali.

Kau sangat gembira:
Terima kasih, Tuan. Terima kasih.

Malulah saya kalau pergi berkaki ayam,
Ujar kau lagi.

Tanpa berlengah
Kau berjingkit langkah ke rumah jiran.

Satu demi satu kauatur langkahmu
Sambil memikirkan pintu belakang rumah itu.

Tetapi akhirnya kaudapati Sang Maut
Sudah bersembunyi di sebalik pintu.

Kau menggigil bertanya:
Mengapa Tuan tidak menunggu di ruang tamu?

Sang Maut pantas menjawab:
Tadi sengaja kutanggalkan sepatuku di sini juga.

Ah, kau ternganga
Mendengar jawapan itu.
 

3 Nov 99   




[Dewan Sastera, Mac 2010]